Friday, February 10, 2012

Memperkukuh Ekonomi Bumiputera



Walaupun banyak pihak mempertikaikan dasar-dasar kerajaan yang tidak membantu orang Melayu dan Bumiputera, hakikatnya agenda pembangunan ekonomi Bumiputera tetap menjadi teras utama kerajaan bagi memastikan golongan itu boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain daripada segi pegangan ekonomi.

Berbagai pendekatan sebagai inisiatif dibuat oleh kerajaan untuk memperkukuhkan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera dan baru-baru ini kerajaan mengumumkan lagi lima pendekatan melalui Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) - antara lain memastikan bilangan syarikat teras bumiputera ditambah sebanyak 50 lagi berbanding 30 dalam fasa pertama.

Kesemua syarikat itu telah pun melalui proses penilaian dan penarafan di mana syarikat tersebut dilihat mempunyai potensi untuk berkembang lebih maju dengan jumlah hasil syarikat yang dijangka berada dalam lingkungan RM5 bilion.

Ketika mengumumkan inisiatif tersebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, konsepnya bukanlah menjanjikan setiap syarikat yang dipilih semestinya mendapat kontrak kerajaan tetapi lebih kepada keupayaan membina dan membangunkan keupayaan syarikat-syarikat tersebut dari segi pengurusan, teknikal dan kewangan selain membantu dari segi inovasi serta pelan perniagaan.

Selain itu MTAB juga bersetuju untuk mempelawa syarikat-syarikat bumiputera mengguna pakai aplikasi yang dibangunkan untuk memasarkan produk mereka ke luar Negara.

Selain itu satu keputusan juga telah dicapai supaya SME Corporation menjadi rakan kongsi pintar kepada Teraju untuk membangunkan 80 peratus syarikat bumiputera yang kebanyakannya merupakan usahawan mikro dari segi pembungkusan agar perolehan syarikat dapat ditingkatkan.

Sementara itu satu persetujuan juga telah dicapai untuk meminta Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) melepaskan pegangan ke atas syarikat-syarikat yang dianggap bukan teras perniagaan tetapi berpotensi untuk diserah tadbir dan diserah milik kepada syarikat bumiputera seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

Mereka akan melalui satu proses penilaian yang dibuat secara tender terbuka di mana syarikat-syarikat bumiputera dipelawa mengambil bahagian. Syarikat terbaik dan paling kukuh, mempunyai kemampuan akan diserah milik untuk memiliki syarikat tersebut dan seterusnya dapat menambahkan nilai ekuiti bumiputera.

Untuk itu, kata Perdana Menteri, Khazanah dan PNB masing-masing disasarkan akan melepaskan pegangan ke atas lima syarikat.

Selain memberikan penekanan terhadap agenda pembangunan ekonomi Bumiputera, kerajaan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera turut menyasarkan peningkatan perolehan dana dari RM158 juta kepada RM500 juta untuk membiayai pendidikan pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan cemerlang melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia.

Antara aspek yang diberikan tumpuan adalah untuk memberi nilai tambah kepada bumiputera yang lulus dalam perakaunan di peringkat sarjana muda tetapi tidak meneruskan pengajian untuk kelulusan ikhtisas profesionalnya. Melalui yayasan ini, kerajaan akan membantu mereka menaik taraf kelulusan sebagai profesional.
[Selanjutnya]

Monday, January 16, 2012

Sara 1Malaysia Bantu Golongan Berpendapatan rendah



Untuk memastikan taraf hidup rakyat terutama mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah dapat ditingkatkan, kerajaan melakar satu lagi detik sejarah apabila melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah berpendapatan rendah.

Ketika mengumumkannya, Perdana menteri datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka yang layak akan diberi peluang membuat pelaburan sebanyak RM5,000 dalam Sara 1Malaysia iaitu salah satu produk Permodalan Nasional Berhad (PNB) sama ada melalui simpanan peserta atau dalam bentuk pinjaman.

Skim yang diperkenalkan itu terbuka kepada kumpulan isi rumah berpendapatan antara RM500 hingga RM3,000 sebulan.

Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan, mereka boleh membuat pinjaman sebanyak RM5,000 daripada bank-bank yang mengambil bahagian iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Bagi peserta yang menyertai skim ini dan di kalangan mereka yang tidak membuat pinjaman dengan mana-mana pihak bank terpilih, mereka dijamin memperoleh pulangan sebanyak RM134 sebulan.

Sementara bagi mereka yang membuat pinjaman, mereka tetap memperoleh imbuhan sebanyak RM50 sebulan selepas ditolak sebanyak RM84 sebagai bayaran balik pinjaman kepada pihak bank.

Sekiranya mereka yang tidak membuat pinjaman dengan pihak bank dan tidak mengambil pulangan yang diterima setiap bulan dalam tempoh lima tahun, mereka mampu memperoleh pendapatan memcecah RM13,000.

Sementara bagi mereka yang membuat pinjaman, mereka juga berpeluang memperoleh RM5,000 untuk tempoh yang sama.
[Selanjutnya]

Tuesday, December 20, 2011

Guru Sandaran Dapat Pembelaan

Menyedari kepentingan untuk meletakkan sistem pendidikan negara kepada satu tahap yang tinggi sesuai dengan tuntutan semasa, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mengambil banyak pendekatan termasuk melakukan transformasi bukan sahaja untuk menjaga kepentingan golongan pendidik tetapi juga ingin memastikan para pelajar memperoleh pendidikan sempurna, terjamin dan berkesan.



Justeru tindakan Kementerian Pelajaran menyerapkan Guru Sandaran Tidak terlatih (GSTT) adalah satu langkah bijak untuk mengatasi masalah kekurangan golongan pendidik dan dalam masa yang sama memberi peluang kepada golongan itu untuk mempertingkatkan kemahiran masing-masing sesuai dengan pengalaman yang mereka miliki.

Ketika ini terdapat 13,184 orang GSTT dan di bawah program yang dilaksanakan oleh kementerian itu seramai 7,079 orang GSTT atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan akan memulakan latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan universiti awam terpilih selama dua tahun bermula Januari depan.

Daripada 7,079 orang GSTT kira-kira 4,433 orang akan mengikuti latihan perguruan di universiti awam manakala bakinya pula di IPGM. Selain itu terdapat seramai 1,799 orang GSTT yang sedang mengikuti kursus dalam cuti termasuk latihan perguruan sebagai persediaan untuk mempertimgkatkan kemahiran setanding dengan guru-guru terlatih sedia ada.

Jumlah mereka yang diterima untuk mengikuti latihan mungkin jauh lebih besar jika mereka tidak melakukan kesilapan dalam mengemukakan permohonan. Berdasarkan rekod, seramai 2,788 orang GSTT gagal mengemukakan dokumen lengkap yang menyebabkan permohonan mereka terpaksa ditolak.


Bagi membolehkan mereka mengemukakan permohonan baru, pihak kementerian akan membuka proses rayuan sehingga 26 Disember ini. Sementara bagi permohonan yang tidak layak mengikuti latihan perguruan, mereka akan ditawarkan Kontrak Untuk Perkhidmatan (CFS) bagi meneruskan khidmat di sekolah-sekolah yang memerlukan.


Antara faktor yang menyebabkan permohonan mereka ditolak adalah kerana tidak memenuhi kriteria yang diperlukan seperti melebihi usia yang ditetapkan iaitu 35 tahun dan tidak berkhidmat melebihi dua tahun berurut-turut.

Berdasarkan jumlah permohonan yang ditolak, kira-kira 916 sudah melebihi usia yang ditetapkan sementara 2,012 orang lagi tidak berkhidmat melebihi dua tahun secara berturut-turut dan mereka yang gagal dalam permohonan itu akan ditawarkan CFS untuk tempoh tiga bulan dan akan diperbaharui berdesarkan keperluan semasa.
[Selanjutnya]

Wednesday, November 23, 2011

Kadar Tol Di Malaysia Masih Yang Terendah

Kenaikan kadar tol di semua lebuh raya di negara ini merupakan satu isu yang sensitif dan tidak kurang juga dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka. Maka tidak hairan jika isu kenaikan kadar tol sentiasa menarik minat orang ramai lebih-lebih lagi jika kenaikan kadar tol tersebut dianggap tidak munasabah dan membebankan pengguna.

Selama ini kita kerap membangkitkan isu kadar kenaikan tol dan mengeluarkan pelbagai dakwaan kononnya syarikat pengendali lebuh raya di negara ini hanya mengutamakan keuntungan tanpa memperdulikan beban yang ditanggung rakyat sedangkan ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya kadar tol di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan beberapa buah negara Asia kerana ia hanya membabitkan peningkatan sebanyak lima peratus untuk tempoh tiga tahun.

Dalam mementukan kadar kenaikan tol, sebenarnya banyak faktor diambil kira dan ia berbeza-beza mengikut negara di mana pelbagai kaedah diguna pakai termasuk mengambil kira kadar inflasi di negara masing-masing.

Dalam soal ini Malaysia tidak menggunakan sebarang kaedah dalam mementukan kadar tol atau mengambil kira peningkatan kadar inflasi. Sebaliknya Malaysia menggunakan pedekatan dengan membuat ketetapan kenaikan kadar tol yang dibuat setiap tiga tahun iaitu sebanyak 1.7 peratus setahun. Jumlah ini lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar inflasi Malaysia selama tiga tahun iaitu sebanyak 2.6 peratus setahun.



Sekadar membuat perbandingan dengan negara jiran Indonesia di mana kadar inflasi di negara itu berada pada sekitar 5.1 peratus tahun lalu atau purata 6.1 peratus untuk tempoh tiga tahun telah menaikkan kadar tolnya sebanyak sembilan peratus.

Kadar tersebut ditetapkan berdasarkan kadar inflasi negara dan dilaksanakan setiap dua tahun di mana kali terakhir kadar tol dinaikkan di Indonesia adalah awal tahun ini.

Beberapa pakar ekonomi menyambut baik pengumuman semakan semula syarat perjanjian konsesi tol di empat lebuh raya Plus Expressway Bhd. dan tol Jambatan Pulau Pinang yang dikendalikan Peneng Bridge Sdn. Bhd. antara kerajaan dengan UEM Group Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mereka berpendapat, sudah sampai masanya syarikat korporat beralih daripada matlamat untuk mendapatkan keuntungan kepada matlamat untuk membantu rakyat supaya tidak terus dibebani dengan kos hidup yang semakin meningkat.

Paling penting untuk memastikan pengguna tidak terbeban sekiranya kadar peningkatan dilakukan secara berperingkat dan pada kadar munasabah serta bagi tempoh yang panjang.

Seperti mana yang disuarakan oleh penganalisis ekonomi, Dr Haim Hilman Abdullah yang disiarkan oleh akhbar Berita Minggu baru-baru ini, usaha empat buah syarikat pengendali lebuh raya untuk melupuskan pampasan tertunggak dan pampasan pembekuan kenaikan tol selama lima tahun bukan sahaja dianggap sebagai usaha awal untuk mengutamakan kepentingan pennguna tetapi lebih penting bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Apabila beban kerajaan dapat dikurangkan, ia mampu mengurangkan defesit negara sekali gus memberi manfaat kepada semua rakyat keseluruhannya dan semakan semula syarat perjanjian konsesi itu dengan sendirinya sudah mewujudkan situasi menang – menang.
[Selanjutnya]

Tuesday, November 15, 2011

Kampung WiFi : Bawa Manfaat Pada Penduduk Luar Bandar


Bagi memastikan rakyat negara ini mendapat pendedahan menyeluruh kepada teknologi maklumat khususnya aksess keada internet, kerajaan melalui kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) berusaha untuk mewujudkan dan memperluaskan kampung WiFi ke seluruh negara.

Usaha tersebut juga selari dengan matlamat kerajaan untuk merapatkan jurang capaian internet antara penduduk bandar dan kawasan luar bandar sekali gus memberikan peluang sama rata kepada akses internet kepada seluruh rakyat.

Ketika ini tumpuan kepada usaha mewujudkan kampung WiFi banyak tertumpu di Perlis, Sabah dan Sarawak di mana sehingga kini terdapat 1,400 kampung WiFi di ketiga-tiga negeri tersebut. Malah pihak kementerian juga dalam proses untuk membina menara elektronik di Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan capaian internet kepada penduduk di kedua-dua negeri tersebut terutama penduduk di kawasan luar bandar dan pendalaman.

Pihak kementerian juga mensasarkan menjelang akhir tahun depan sebanyak 4,000 kampung WiFi akan diwujudkan di seluruh negara. Selain untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah komuniti internet, usaha yang dilakukan oleh kerajaan inj juga bertujuan untuk memberi peluang kepada Usahawan Kecil dan Sederhana (IKS) mendaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi talian bagi memperkembangkan perniagaan menerusi dalam talian.

Menyedari kekangan yang wujud untuk memastikan hasrat meningkatkan pencapaian di dalam talian terutama membabitkan IKS seperti kurangnya sistem pendidikan yang sistematik untuk membolehkan rakyat mahir dalam penggunaannya, aspek perkongsian pengetahuan dan pengalaman agensi berkaitan turut dituntut.

Aspek pendidikan ini dianggap penting terutama bagi generasi muda dan warga emas yang kurang mahir untuk mengendalikan perniagaan secara dalam talian dan menggunakannya dengan sebaik mungkin memandangkan perniagaan secara dalam talian hari ini sudah menjadi satu budaya yang menjanjikan pulangan besar jika diteroka dengan sebaik mungkin.

Bagi memastikan projek tersebut mendatangkan manfaat kepada semua rakyat, setiap kampung akan disediakan dengan sistem perkomputeran biasa dengan kemudahan jalur lebar percuma untuk tiga bulan pertama dan selepas itu dikenakan bayaran minimum sebanyak RM10 sebulan. Dan purata kos projek bago setiap kampong membabitkan perbelanjaan kira-kira RM25,000 hingga RM32,000.
[Selanjutnya]

Monday, October 31, 2011

NELAYAN PERLU GUNA BANTUAN SEBAIK MUNGKIN



Bagi memastikan kehidupan nelayan di negara ini terus terbela terutama kumpulan nelayan pantai atau tradisional, kerajaan mengambil pendekatan untuk terus menyalurkan bantuan elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada lebih 55,000 nelayan di seluruh negara mulai tahun depan.

Bantuan membabitkan peruntukan melebihi RM230 juta itu terkandung dalam Bajet 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sepatutnya tamat penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, menyedari beban yang perlu ditanggung oleh para nelayan, kerajaan mengambil keputusan untuk meneruskan pemberian elaun tersebut. Keperihatinan kerajaan untuk menjaga kebajikan para nelayan di negara ini bertujuan untuk memastikan kehidupan mereka tidak terpinggir memandangkan kumpulan ini bukan sahaja majoritinya hidup susah tetapi juga bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan yang kadang kalanya tidak menentu disebabkan oleh faktor cuaca dan sebagainya.

Daripada jumlah mereka yang layak menerima elaun sara hidup, Kelantan mencatat jumlah penerima paling ramai iaitu seramai 2,800 orang membabitkan peruntukan sebanyak RM5 juta. Kebanyakkannya membabitkan nelayan pantai atau nelayan tradisional di Jajahan Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Putih yang rata-ratanya mempunyai pendatan tidak melebihi RM500 sebulan.



Selain meneruskan bantuan elaun sara hidup, kerajaan tutut memberikan beberapa lagi insentif lain kepada para nelayan antaranya menyediakan pelbagai bantuan seperti insentif penangkapan ikan, subsidi minyak, bot dan pukat. Semua ini dilakukan untuk memastikan kehidupan nelayan yang rata-ratanya masih dibelenggu hidup miskin dapat menikmati kehidupan lebih bermakna untuk menyara keluarga.

Namun dalam masa yang sama para nelayan wajar menggunakan sepenuhnya bantuan dan insentif yang diberikan itu untuk meningkatkan taraf hidup mereka tanpa menyalahgunakan segala kemudahan dan bantuan tersebut.

Sebelum ini banyak berlaku apabila nelayan menyalahgunakan bantuan dan subsidi minyak yang diberikan oleh kerajaan dengan menjualkannya kepada pihak lain untuk mendapatkann wang dengan cara mudah.

Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi tetapi juga menunjukkan sikap sebahagian para nelayan yang suka mengambil kesempatan di mana akhirnya akan memberi kesan kepada rakan mereka yang lain.

Sebaliknya mereka perlu menggunakan sepenuhnya bantuan dan keperihatinan kerajaan itu untuk kebaikan masa depan mereka sekali gus mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik.
[Selanjutnya]

Tuesday, October 11, 2011

Bajet 2012 diterima baik

Walaupun pembangkang menggambarkan pembentangan Bajet 2012 sebagai gula-gula pilihan raya, mencedok apa yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga, tidak menyeluruh dan sebagainya, bajet kali ini mempunyai signifikan besar kepada usaha kerajaan meneruskan agenda pelan transformasi kerajaan.

Melihat kepada perkara-perkara yang diberikan penekanan dalam bajet kali ini, ia juga merupakan inisiatif kerajaan untuk meredakan beban inflasi rakyat. Ini kerana banyak perkara yang mendesak bersangkutan keperluan rakyat perlu diberikan keutamaan terlebih dahulu bagi memastikan semua agenda transformasi kerajaan berjalan seperti mana dirancang.

Bajet kali ini boleh dikatakan bajet menyeluruh walaupun cuba dinafikan oleh pembangkang melalui pelbagai kenyataan pemimpin-pemimpin mereka yang boleh ditafsirkan sebagai kehilangan modal untuk menidakkan apa yang diberikan kerajaan pada bajet kali ini.



Walaupun bajet 2012 kekal sebagai bajet defisit, rakyat tidak perlu bimbang. Mereka perlu melihatnya sebagai langkah kerajaan ini sebagai satu tindakan berani apabila meletakkan bajet kali ini di luar perspektif biasa, seperti mana bajet-bajet sebelumnya semata-mata untuk memberikan yang terbaik untuk rakyat dalam berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.

Tambahan pula dalam keadaan negatif ekonomi global sekarang ini amat sukar untuk kerajaan menampilkan satu bajet seimbang, namun apa yang lebih penting ialah impak yang ingin dilihat oleh kerajaan dan manfaat yang akan diperoleh oleh rakyat - iaitu memastikan beban kos sara hidup yang semakin meningkat sedikit sebanyak mampu diatasi.

Soal ia dikatakan gula-gula politik menjelang pilihan raya atau kerajaan merasa tertekan dengan bajet alternatif Pakatan Rakyat sebelum ini, soal tersebut tidak timbul kerana kerajaan mempunyai pendekatan tersendiri untuk menangani segala kebimbangan yang dibangkitkan oleh pembangkang kononnya bajet kali ini hanya akan meningkatkan lagi kadar inflasi dan meningkatkan lagi defisit negara.

Jika dilihat kebimbangan dan kritikan yang disuarakan oleh pembangkang berhubung bajet kelmarin juga tidak berasas. Ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memberikan jaminan bahawa kerajaan mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya.

"Saya akan melakukan perbuatan bunuh diri dari segi politik kalau saya membentangkan bajet yang kerajaan tidak boleh tunaikan," katanya kepada pemberita selepas majlis lawatan mesra rakyat di Kundang, Kuang di Kuala Selangor pada Sabtu.

Beliau juga menyifatkan bajet kali ini telus dan apa yang kerajaan lakukan adalah mengikut kemampuan dan itulah janji dan komitmen untuk melaksanakannya demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Menyingkap kepada inti pati bajet 2012 dan dakwaan pembangkang sebagai tidak realistik, ia hanya ungkapan untuk menutup kelemahan sendiri yang jelas tidak memiliki hujah kukuh untuk dipertikaikan memandangkan apa yang terkandung dalam bajet kali ini bukan janji-janji kosong, sebaliknya berdasarkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya.

Ia bukan bajet untuk menyedapkan hati rakyat, dan jauh sekali untuk menipu rakyat. Ia sebaliknya dirangka menggunakan kepakaran daripada pihak Kementerian Kewangan, Bank Negara, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan lain-lain untuk mengkaji dengan mendalam keperluan rakyat dan paling penting memastikan setiap lapisan rakyat memperoleh faedah daripadanya.
[Selanjutnya]